1)SILA KLIK BUTTON LIKE DIBAWAH
2)SELEPAS LIKE, KLIK SUPPORT US! UNTUK TERUSKAN...




Powered By IMuslimNetwork
Support Us!

Friday, October 31, 2014

Cara Melatih Anak Adab Di Meja Makan




Latih si kecil di meja makan

Gelagarnya seronok dilihat dan kalau diizinkan masa, menghabiskan masa seharian bersama si kecil pasti jadi pilihan. Saat si manja mula pandai berjalan, majoriti ibu bapa berasa lega kerana si anak tidak perlu digendong ke sana sini.

Namun saat si kecil mula belajar menggerakkan kakinya, tangan serta tubuhnya ikut serta melangkah lalu habis setiap ruang di rumah dipunggahnya.

Ia lumrah bagi kanak-kanak yang sudah mampu berjalan dan biasanya ibu bapa cenderung mengajar anak terbabit beberapa adab tatasusila di rumah.

Namun, satu perkara yang jarang diberi perhatian kala mengajar si kecil mengenai peraturan dalam kehidupan. Pada saat ibu bapa sibuk mengajar si kecil agar tidak menyepahkan barangan dan tidak menconteng dinding, ramai ibu bapa mengabaikan ajaran tatatertib di meja makan.

Sudahnya, si kecil mula tidak selesa apabila diminta duduk beradab di meja makan hingga menyukarkan ahli keluarga lain menikmati hidangan.

Lebih buruk apabila kanak-kanak terbabit tidak mampu duduk diam ketika dibawa ke restoran lalu mengganggu pengunjung lain dalam premis itu.

Biasanya, ibu bapa hanya mampu mengikut saja ragam si anak kerana tidak mahu kanak-kanak itu menimbulkan lebih banyak ragam dan masalah.

Bagi Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Prince Court, Urmilah Dass, menurut saja kehendak si kecil kerana mahu menghentikan perangainya itu bukan saja membuatkan keadaan lebih buruk pada masa depan, malah tidak memberi manfaat kepada anak terbabit.

"Itu kesilapan utama ibu bapa kerana mereka tidak langsung memberi pengajaran kepada kanak-kanak itu.

"Mengikut saja kemahuan anak bagi mengelakkannya meragam bukan saja menyukarkan aktiviti ibu bapa itu sendiri, malah membuatkan si kecil lambat mempelajari erti berdikari," katanya.

Kanak-kanak seawal usia tiga tahun disifatkan sudah mampu menerima dan menuruti arahan. Justeru, pada usia begitulah ibu bapa perlu memberi perhatian dalam pengajaran awal untuk anak mereka.

"Ajar kanak-kanak ini peraturan asas di meja makan. Ia memerlukan usaha dan latihan berterusan bagi membolehkan kanak-kanak faham dengan peranannya.

"Perkenalkan dua atau tiga konsep dalam satu masa. Kanak-kanak sukar memproses maklumat jika diajar terlalu banyak. Mulakan dengan perkara paling mudah iaitu sudu dan garpu.

"Tunjukkan cara menggunakan tangan, sudu dan garpu dengan betul. Pujuk mereka untuk mengulang semula dan berikan pujian apabila si anak dapat melakukannya dengan baik setiap kali di meja makan," ujarnya.

Selain itu, Urmilah menggesa ibu bapa membiasakan ucapan `boleh' atau `please' dengan anak-anak.

"Setiap kali ibu bapa cuba meminta kanak-kanak ini melakukan sesuatu, ucapkanlah `boleh' atau `please'. Pada masa sama, ajarkan juga dua perkataan ini dengan anak-anak.

"Apabila mereka melihat dan mendengar sendiri ibu bapa menggunakan ayat itu, secara tidak langsung kanak-kanak akan terpengaruh dan besar kemungkinan mengikut apa yang diucapkan ibu bapanya," tegasnya.

Tip adab di meja makan untuk kanak-kanak:

* Minta anak duduk di atas kerusi dan menghadap meja makan selama 15 minit. Tegaskan bahawa mereka tidak boleh berdiri atas kerusi atau menarik alas meja.

Kenakan denda kecil jika mereka tidak mahu duduk diam.

* Ajar anak tertib menunggu ter-lebih dulu sebelum makan sehingga semuanya sudah duduk di tempat masingmasing.

* Latih kanak-kanak menggunakan napkin atau alas paha dan bukannya mengesat kotoran dengan baju.

* Latih anak menguka mengapa makan dengan mulut terbuka itu tidak sopan. Konsep ini memerlukan latihan berterusan dan sesekali berikan ganjaran kepada si kecil apabila dia berjaya melakukannya.

* Latih anak agar tidak mengkritik makanan. Ceritakan mengenai keperitan golongan miskin yang sukar mendapatkan makanan.

Ajar anak untuk menolak makanan yang tidak digemari dengan cara senyap dan berhemah.

Oleh Nor Faizah Mohamed


www.muslimparentingnetwork.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.